Sunday, March 18, 2007

Napoleon Hill mengajar cara menjadi kaya

Oleh: SAPORA SIPON

NEGARA tentu sekali berbangga kerana penerima pertama Anugerah Kepimpinan Global Yayasan Napoleon Hill ialah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengiktiraf kejayaan kepimpinan global beliau.

Pengerusi Yayasan, Dr. Charles Johnson dalam perutusannya menjelaskan Datuk Seri Abdullah telah membuktikan khidmat penuh berdedikasi terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Yayasan Napoleon Hill ialah sebuah institusi pendidikan bukan membuat keuntungan yang berpusat di Amerika Syarikat dan menggalakkan falsafah Napoleon dalam menjadikan dunia sebagai sebuah tempat yang lebih baik untuk hidup.

Napoleon Hill dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin di Wise Country, Virginia, Dr. Hill dianggap sebagai seorang daripada pemikir paling berpengaruh di abad ini dan telah memberikan inspirasi kepada berjuta-juta manusia di seluruh dunia untuk mencapai kejayaan bagi diri mereka sendiri.

Kehidupan semasa kecilnya agak menyedihkan. Ibunya meninggal pada umur Hill 10 tahun. Digambarkan sebagai seorang yang tidak menurut kata very rebellious boy semasa kecilnya. Bagaimanapun, beliau kemudiannya berjaya menjadi seorang yang sangat berjaya apabila dewasa.

Dunia penulisannya bermula apabila beliau berusia 13 tahun. Hill bermula sebagai penulis akhbar di kawasan-kawasan perkampungan sehinggalah menjadi seorang pengarang buku terkemuka dalam bidang motivasi.

Kerjaya awalnya sebagai seorang wartawan membantunya memperoleh pendapatan untuk menyara kehidupan sebagai seorang pelajar dalam bidang undang-undang.

Kejayaan Hill mula berkembang apabila beliau mula ditugaskan untuk menulis mengenai kejayaan orang-orang yang terkenal dan berjaya. Tugasan yang memberi pengaruh besar kepada kejayaannya ialah apabila Hill diminta untuk menemuduga Andrew Carnegie, tokoh hebat jutawan besi.

Carnegie kemudiannya meminta Hill untuk menemu duga lebih daripada 500 jutawan untuk mencari formula kejayaan yang boleh digunakan oleh orangorang kebanyakan yang inginkan kejayaan.

Mereka termasuklah Thomas Edison, Alexander Graham Bell, Henry Ford, Elmer Gates, Charles M. Schwab, Theodore Eastman, Woodrow Wilson, William H. Taft, William Jennings Bryan, John D. Rockfeller.

Seterusnya, Hill menjadi penasihat kepada Andrew Carnegie, dan dengan bantuan Carniegie, Hill telah berjaya merumus satu falsafah kejayaan, yang diambilnya daripada pengalaman dan pemikiran individu-individu berjaya yang telah ditemuinya. Hill mengambil lebih daripada 20 tahun untuk menghasilkan buku Think and Grow Rich sebuah buku klasik mengenai falsafah kejayaan.

Selain daripada buku Think and Grow Rich, penulisan Hill yang menjadi aspirasi kepada pembaca ialah The Law of Success In Sixteen Lessons. Buku ini mula diterbitkan pada tahun 1928 dan sepertimana tajuknya, merupakan antara buku falsafah pencapaian diri yang berjaya.

Penulisan-penulisan lain beliau ialah The Think and Grow Rich Action Pack, Grow Rich! With Peace of Mind, Napoleon Hill‘s Keys to Success, Napoleon Hill‘s Keys to Positive Thinking, Napoleon Hills‘s Action Plan, Suceed and Grow Rich Through Persuasion, Success Through A Positive Mental Attitude. Think and Grow Rich: The 21st-Century Edition:Revised and Updated.

Napoleon Hill meninggal dunia pada November 1970 setelah melalui kejayaan cemerlang dalam bidang penulisan, mengajar dan memberi syarahan mengenai prinsip-prinsip kejayaan.

Beliau telah begitu berjaya dalam kerjayanya sehingga dianggap sebagai seorang daripada pemikir paling berpengaruh di abad ke-20. Penulisannya memberikan inspirasi kepada begitu ramai orang di seluruh dunia untuk mencapai kejayaan bagi diri mereka.

Menyoroti kejayaan hebat Napoleon Hill, tentu sekali negara amat bertuah apabila pemimpin nombor satu negara kita dipilih sebagai penerima pertama anugerah kepimpinan Global Yayasan Napoleon Hill.

Namun, apa yang paling penting ialah rakyat Malaysia mesti bekerja kuat, malah amat kuat dalam menentukan sama ada Malaysia dan rakyat Malaysia akan berada sebaris dalam kalangan yang terbaik di dunia seperti mana yang telah disarankan oleh Perdana Menteri. Semangat, kepercayaan dan nilai akan menentukan kejayaan Malaysia.

Walaupun rakyat mempunyai kepercayaan dan nilai sebagai pembimbing, usaha yang bersungguh-sungguh amatlah diperlukan untuk menentukan Malaysia akan menjadi sebuah negara cemerlang,gemilang dan terbilang.

No comments: